PANDANGAN SAYA TERHADAP ISU PROGRAM 'I WANT TO TOUCH A DOG'
1. Sefaham saya, jika ingin menganjurkan program menjelaskan pendirian Islam tentang anjing, keringanan ketika menyelamatkan anjing, Islam rahmat kepada haiwan termasuk anjing, mengajar masyarakat agar tidak membenci anjing tanpa sebab syarie etc. Program sebegitu adalah BOLEH dibuat dan wajar diterima.
2. Namun jika program menggunakan tema 'i want touch a dog' dan seolah 'majlis menyentuh anjing beramai-ramai tanpa sebab dan keperluan yang jelas' diikuti dengan bergambar, memeluk dan menciumnya dari kalangan orang Islam, maka itu sudah pastinya mencipta PROVOKASI terhadap masyarakat setempat. Walaupun mazhab Maliki mengganggap anjing dan seluruh tubuhnya sebagai tidak najis & tidak haram disentuh, namun pandangan dan pegangan masyarakat setempat perlu diambil kira. Ditambah lagi dengan ijtihad ulama mazhab Syafie yang mengharamkan sentuhan tanpa sebab yang syar'ie. Mazhab Hanbali turut menganggap anjing sebagai najis yang tidak harus menyentuhnya tanpa sebab yang syarie.
3. Pada hemat saya, program itu mempunyai tujuan yang baik namun cara pelaksanaannya tidak tepat dan tidak berhati-hati serta terlalu terbuka tanpa kawalan dan panduan jelas diberikan kepada para pesertanya.
4. Justeru saya TIDAK bersetuju PENGANJURAN seumpama itu, namun saya juga tidak bersetuju kecaman melampau-lampau dan ugutan pelbagai pihak terhadap penganjur dan mereka yang hadir.
5. Bagi saya tidak wajar digelar mereka sebagai gerakan Islam liberal kerana sekiranya mereka meyakini ijtihad mazhab Maliki, maka itu tidak sama sekali boleh dianggap liberal, malah mazhab tersebut adalah salah satu dari ahli sunnah wal jamaah. Jika mereka mengatakan harus memakan daging babi dan anjing, ketika itu barulah mungkin mereka sudah menyimpang dan liberal, kerana terdapat dalil spesifik dan jelas kenajisan dan pengharaman.
6. Bagi saya juga, menuduh penganjur boleh terkeluar aqidah atau menghina Islam juga adalah tuduhan agak keterlaluan, tidak boleh kita sewenang-wenang menggunakan tuduhan berat sedemikian tanpa bukti jelas menunjukkan mereka membenci Islam & ingin menghinanya.
Bagi saya, apa yang berlaku adalah hanya masalah Fiqh dan perbezaannya. Ia tidak sampai melibatkan masalah aqidah kerana pengharaman sentuh anjing dan tubuhnya tidak berdalil qat'ie dan bukan juga sampai ke peringkat ijma' (sepakat seluruh ulama silam) ditambah lagi wujudnya ijtihad berbeza dari mazhab Maliki dan sebahagian mazhab Hanafi, mereka berbeza dari mazhab Syafie dan Hanbali yang mengganggap anjing sebagai najis.
KESIMPULAN
Dalam mengambil sikap dalam isu ini, kebijaksanaan masyarakat dan kematangan menghadapi situasi kepelbagaian pendapat, kefahaman dan perbezaan perlu dipandu dengan lunak dan berhemah.
Penganjur walau niatnya baik mungkin tersalah pendekatan dan tidak teliti dalam peganjuran sehingga memilih tajuk dan provokatif sehingga mungkin dilihat mencabar kefahaman awam tentang anjing. Justeru, elok penganjur memohon maaf sahaja kepada pihak berkuasa dan masyarakat awam yang terusik dengan tindakan kurang bijak mereka.
Para ilmuwan & orang ramai yang mengecam, walaupun berniat baik namun mungkin terlalu emosi sehingga berlebihan dalam melabel, tuduhan dan ancaman.
Para ilmuwan & pihak berkuasa khususnya sepatutnya tidak melenting, menjadi juara dalam melabel dan mengutuk. yang sepatutnya mereka memandu orang ramai untuk tenang menyikapi perbezaan pendapat dalam masyarakat awam. Kerana pandangan selain mazhab Syafie berterusan boleh diikuti oleh masyarakat awam di zaman internet dan globalisasi ini yang mana sumber maklumat yang pelbagai boleh di hujung jari. Maka untuk menempelak terlalu keras terhadap mereka yang terkeluar dari ijtihad mazhab Syafie seolah mereka menjadi liberal atau terkeluar Islam adalah juga tidak berhemah dalam mendidik masyarakat.
Orang ramai pula, dinasihati tidak mengeruhkan suasana dengan membuat ugutan kekerasan terhadap penganjur dan mereka yang menyertai. Cercaan, makian dan kutukan keras hanya membawa kalian kepada potensi menambah dosa-dosa. Nasihat sahaja mereka dengan baik disertai dalil-dalil yang difahami, bukankah itu lebih enak dan harmoni.
Penganjur juga perlu menyedari terlalu banyak keutamaan isu yang jauh lebih baik dianjurkan kempen berbanding isu anjing ini. Sentuhan yang haram seperti sentuhan lelaki wanita bukan mahram, berpelukan, kempen anti zina, makan wang haram dan lebih jauh berleluasa dan berbahaya. Ilmuwan pula lebih digalakkan lebih banyak memberi respon kepada isu-isu yang lebih kronik berbanding isu ini. Atas sebab itu juga saya lewat mengulas isu iini kerana dirasakan ia tidak sebegitu besar namun media dan ulasan awam dan pihak berkuasa yang menjadikannya besar.
Sekian
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
PRESIDEN MURSHID
PRESIDEN MURSHID
Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang ditanyakan kepadanya mengenai sesuatu ilmu (agama), lalu ia menyembunyikannya nescaya Allah mengekang mulutnya dengan kekang dari api neraka, pada hari qiamat kelak."
ReplyDelete( Abu Daud dan Tirmizi)
TERIMA KASIH ATAS MAKLUM BALAS ANDA
Delete